X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin: Warga emas di Pulau Pinang boleh 'walk in' mulai Ogos

Gambar hiasan
A
A

GEORGETOWN - Warga emas di negeri ini yang belum memperolehi sebarang janji temu suntikan vaksin boleh 'walk-in' atau jumpa terus bermula 2 Ogos ini di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain yang belum memperolehi sebarang janji temu, warga emas yang telah berdaftar atau belum berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera juga boleh berbuat demikian.

Menurutnya, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Peringkat Pulau Pinang pada Rabu.

"Mereka (warga emas) boleh terus 'walk-in' bermula 2 Ogos iaitu di PPV Dewan Millenium (Seberang Perai Utara), PPV SP Arena (Seberang Perai Tengah (SPT)) dan PPV Dewan Serbaguna Jawi (Seberang Perai Selatan (SPS)).

"Untuk daerah Timur Laut dan Barat Daya pula, mereka boleh ke di SPICE Convention Centre (SPICE CC) pada 3 Ogos ini. Mereka perlu membawa dokumen diri iaitu kad pengenalan bagi proses pendaftaran serta imunisasi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, sehingga 28 Julai, Pulau Pinang telah mencapai 51.1 peratus kadar suntikan dos vaksin pertama.

"Kita akan berusaha lagi dalam memastikan Pulau Pinang mencapai sasaran populasi dewasa memperoleh sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin lebih awal daripada sasaran iaitu pada awal September ini.

"Sebuah lagi PPV mega iaitu di SPICE CC akan beroperasi bermula 1 Ogos ini dengan kapasiti 5,000 dos suntikan sehari," katanya.

Kon Yeow berkata, rekod catatan kes tertinggi semalam merupakan hasil saringan massa yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) secara percuma dan inisiatif pihak industri.

"Peningkatan kadar saringan adalah meliputi saringan kluster, kontak rapat dan lain-lain ekoran pertambahan kluster baru yang dilaporkan sepanjang tempoh minggu ini.

"Sehingga jam 12 tengah hari semalam, terdapat 51 kluster aktif dilaporkan iaitu 40 dari sektor perkilangan, tempat kerja (tujuh), institusi pendidikan (dua) dan tapak bina (dua). Empat kluster baru yang dilaporkan semalam juga melibatkan sektor perkilangan membabitkan derah SPT dan SPS.

"Berdasarkan laporan daripada JKNPP, sebanyak 155 buah kilang telah diarahkan tutup dalam tempoh Januari hingga 26 Julai lalu berbanding 17 pada tahun lalu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!