Penjawat awam rugi RM31,000 ditipu beli dron

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MIRI - Seorang penjawat awam di sini kerugian RM31,000 akibat ditipu dalam urusan pembelian dron secara dalam talian.

Lelaki berusia 20an itu ditipu apabila mahu membeli sebuah Dron DJI Mini II yang ditawarkan oleh seorang pemilik akaun Instagram dengan menggunakan nama profil Bm-Elektonik7 pada harga RM550.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Superintendan Maria Rasid berkata, mangsa diarahkan membuat beberapa bayaran seperti bayaran harga dron, wang jaminan dan bayaran pelepasan Kastam yang keseluruhan berjumlah RM31,000 sejak 26 Julai lepas hingga semalam.

“Bayaran dibuat ke lima akaun individu berlainan melalui 10 transaksi dan mangsa diyakinkan oleh suspek bahawa wang tersebut akan dikembalikan. Mangsa menyedari ditipu selepas suspek tidak dapat lagi dihubungi,” katanya dalam kenyataan Khamis.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila membuat pembelian barangan secara dalam talian dan memastikan hanya berurusan melalui platform e-dagang yang sah.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Sumber Jabatan Siasatan Jenayah Komersial melalui talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 atau Infoline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian 013-211 1222 (WhatsApp/khidmat pesanan ringkas) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung jenayah dalam talian, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: