Takiyuddin tidak menghormati Agong, negara, rakyat: Pejuang

Akif Rusli
Akif Rusli
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak menghormati dan berbohong kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan rakyat.

Ketua Penerangan Pejuang Muda, Akif Rusli berkata, pembohongan Takiyuddin yang direstui oleh keseluruhan barisan pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah telunjuk Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu bentuk pembohongan dan pengkhianatan tertinggi.

Beliau berkata, pengkhianatan pertama adalah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kedua kepada negara dan ketiga kepada rakyat.

"Tindakan ini turut dilindungi dan disokong oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun juga dinamakan dalam kenyataan tersebut, gelaran yang sesuai untuk kedua-dua mereka adalah 'Brothers of Destruction'.

"Keseluruhan pembohongan ini juga tidak pernah diperbetulkan oleh mana-mana pimpinan kerajaan hari ini sama ada di Parlimen ataupun mana-mana saluran sekali pun.

"Kerana itu kerajaan ini tanpa segan silu terus menerus mencabuli undang-undang dan melanggar prinsip Rukun Negara serta yang paling utama adalah prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembohongan dan pengkhianatan itu bermula dari awal kerajaan tidak sah ini merampas pentadbiran dan juga hari pertama, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat secara sukarela menjadi benteng kepada pembohongan itu.

"Bermula dibentuk dengan pembohongan, maka ia wajib berakhir dengan perlucutan jawatan barisan pimpinan dengan tidak bermaruah.

Artikel Berkaitan:

"Pengakhiran yang penuh kehinaan. Peletakan jawatan wajib dilaksanakan oleh keseluruhan jemaah menteri yang bersekongkol dalam langkah keji ini. Perbuatan sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara," katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan hari ini telah merosakkan kepercayaan Seri Paduka Baginda dan keseluruhan kepimpinan ini tidak layak untuk mengemudi pentadbiran bagi berdepan krisis utama negara.

Pada masa sama, beliau berkata, Pejuang mendesak pentadbiran Kerajaan PN untuk patuh dan akur serta mengaku bahawa pembohongan terulung itu perlu ditebus dengan peletakan jawatan secara kolektif.