Kabinet Muhyiddin malukan negara, tidak faham perlembagaan

Hamidah Osman
Hamidah Osman
A
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan kabinet pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memalukan negara kerana tidak memahami Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, kenyataan dikeluarkan Istana Negara pada Khamis membuktikan bahawa kerajaan langsung tidak mengetahui undang-undang negara berhubung dengan Ordinan Darurat yang memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memansuhkannya.

Menurutnya, sehubungan itu, Muhyiddin bersama seluruh anggota kabinetnya perlu bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan masing-masing.

"Perkara ini sangat memalukan negara bagaimana seorang Perdana Menteri dengan jumlah ahli kabinet begitu ramai tidak perasan mengenai perlunya perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memansuhkan Ordinan Darurat sebelum ia diumumkan.

"Saya rasa ini adalah kemuncak kepada semua kegagalan yang dilakukan kerajaan sepanjang mengambil alih pentadbiran negara daripada kerajaan sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, keadaan tersebut tidak boleh lagi diperbetulkan melainkan dengan kesemua ahli kabinet melepaskan jawatan masing-masing.

Kata Hamidah, tindakan membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dalam membuat keputusan untuk negara tidak boleh diterima.

Menurutnya, seluruh anggota kabinet harus memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong kerana membelakangi Seri Paduka Baginda serta meminta maaf kepada seluruh rakyat di atas apa yang berlaku dan meletakkan jawatan mereka dengan serta merta.

Artikel Berkaitan: