AKPK sedia modul Rumahku bantu pembeli perumahan

AKPK
AKPK
A
A
A

KOTA BHARU – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan modul baharu iaitu Rumahku untuk memudahkan pemahaman masyarakat dalam pendidikan kewangan bagi urusan pembelian rumah.

Pengurus AKPK Cawangan Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor berkata, walaupun dalam tempoh penularan Covid-19, namun masih ada yang mengambil peluang untuk mendapatkan rumah baharu berdasarkan kemampuan masing-masing.

“Modul Rumahku adalah modul dalam talian khas untuk membantu bakal pembeli rumah pertama membuat perancangan kewangan dengan bijak.

“Modul disediakan ini mempunyai beberapa peringkat iaitu untuk melihat sejauh mana kemampuan seseorang pembeli dan perancangan pembayaran balik dengan selesa serta memberi bantuan kaunseling bersesuaian.

"Modul ini sangat penting untuk panduan dan maklumat berguna mengenai pemilikan rumah di Malaysia dan melakukan penilaian kendiri sama ada rakyat di Malaysia sudah bersedia, mampu serta layak untuk membuat pinjaman perumahan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Katanya, semua perkhidmatan disediakan pihaknya adalah secara percuma untuk membantu masyarakat merancang kewangan dengan lebih bijak dan mengelak daripada berlakunya lambakan hutang yang tidak mampu dibayar.

“AKPK tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga dan perkhidmatan AKPK adalah percuma kepada semua individu.

"Kami nasihatkan anda terus berhubung dengan AKPK atau institusi kewangan dan badan autoriti yang sah bagi mendapatkan perkhidmatan atau nasihat kewangan agar tidak ditipu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, AKPK menyediakan perkhidmatan dalam talian secara holistik dan menyeluruh kepada individu dan sebagainya. AKPK boleh dihubungi melalui laman sesawang https://services.akpk.org.my dan menghantar borang dalam talian yang dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK.

“Selain itu, AKPK juga menyediakan panduan kewangan melalui modul-modul pendidikan kewangan di https://power.akpk.org.my, selain media sosial rasmi iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram dan Twitter untuk menyampaikan maklumat tentang pengurusan kewangan termasuklah panduan dan pautan kepada perkhidmatan disediakan.

Orang ramai boleh menggunakan medium disediakan termasuk berhubung terus secara dalam talian dengan penasihat kewangan AKPK sekiranya berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan disediakan.