Padah tipu terima wang palsu di ATM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SELAYANG - Taktik licik seorang penghantar barang mendakwa menerima wang palsu dari mesin juruwang automatik (ATM) bagi mendapatkan ganti rugi dan membuat laporan polis palsu berhubung perkara itu membawa padah apabila dia didenda RM5,200 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, S Sunjeevan, 26, mengaku bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi kesalahan memperdayakan seorang pegawai bank bagi mendapatkan ganti rugi, tertuduh didenda RM4,000 atau penjara lapan bulan manakala bagi kesalahan membuat laporan palsu, dia didenda RM1,200 atau penjara tiga bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curangnya memperdayakan seorang pegawai Maybank cawangan Sri Gombak bagi mendapatkan ganti rugi atas penerimaan wang palsu dari ATM, sedangkan wang itu bukan dari mesin terbabit.

Kesalahan dilakukan di Maybank cawangan Sri Gombak pada 12.47 tengah hari, 21 Julai lalu.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberi maklumat secara bertulis yang diketahui palsu kepada seorang anggota polis, Konstabel Nuqba Harierie Abdul Latif dengan maksud menyebabkan Sarjan M Sanjaav Selan menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang untuk melakukan siasatan.

Ia yang mana Sanjaav Selan sepatutnya tidak melakukan siasatan jika keadaan yang sebenar dimaklumkan kepadanya di Balai Polis Gombak pada jam 1.28 petang, tarikh sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh mengeluarkan wang RM1,500 dari mesin ATM yang mana adalah tulen.

Bagaimanapun, tertuduh telah datang ke kaunter bank tersebut bagi meminta ganti rugi kerana terdapat enam keping RM100 palsu daripada wang RM1,500 yang dikeluarkannya dari mesin ATM Maybank Taman Sri Gombak.

Pegawai bank bertugas kemudian meminta tertuduh untuk mengisi borang aduan dan membuat laporan polis.

Selepas siasatan dibuat, tertuduh didapati mengeluarkan wang RM1,500 dan kesemuanya adalah tulen.

Enam keping RM100 yang didakwa palsu itu adalah kepunyaannya yang mana telah disahkan palsu oleh Bank Negara Malaysia.

Semasa prosiding, tertuduh yang diwakili peguam Azman Abdullah merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk denda yang ringan atas alasan dia terdesak untuk mendapatkan wang selepas pendapatannya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana tindakan melanggar undang-undang bukan cara untuk menyelesaikan masalah.