UMNO mahu Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] UMNO meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan masing-masing meletakkan jawatan secara terhormat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu amat kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddn yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Lebih mendukacitakan apabila Seri Paduka Baginda sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk pembohongan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menggesa agar ahli-ahli Parlimen UMNO menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

Artikel Berkaitan:

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya.