X

Kindly register in order to view this article
!

Nur Dhabitah teruja buru pingat sulung di Tokyo

Nur Dhabitah Sabri. - Foto Bernama
A
A

TOKYO - Tempoh penuh cabaran yang dilalui kesan ketidaktentuan pandemik Covid-19 membakar semangat penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri untuk memulakan saingan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penerjun berusia 22 tahun dan rakannya, Wendy Ng Yan Yee, 28, dijadual meneruskan cabaran skuad terjun negara dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita bermula esok.

Aksi di Pusat Akuatik Tokyo itu bakal menjadi penampilan keduanya di pentas Olimpik dan selepas berbulan menjalani latihan intensif di Bukit Jalil, Nur Dhabitah sudah tidak dapat menahan keterujaannya untuk beraksi.

“Berdebar tetapi pada masa sama saya sudah tidak sabar, sebab ia (persediaan ke Tokyo) sangat lama, jadi saya cuma mahu melakukannya,” kata pemenang pingat perak dan dua gangsa di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang itu kepada Bernama.

Nur Dhabitah sebelum ini mengakui ‘tertekan’ selepas lama tidak berjumpa dan mempunyai masa berkualiti bersama keluarga susulan berada dalam gelembung sukan menjelang temasya sukan berprestij berkenaan.

Bagaimanapun, juara Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 itu tetap bermotivasi tinggi, malah turut menetapkan sasaran peribadi untuk memenangi pingat Olimpik sulungnya di Tokyo.

Dengan sebarang pingat tidak berjaya dijelmakan kontinjen Malaysia setakat ini, Nur Dhabitah mempunyai peluang menjadi atlet negara pertama melakukannya jika berjaya menjejakkan kaki ke final pada Ahad.

Pada Sukan Olimpik Rio 2016, beliau berumur 17 tahun ketika itu, menamatkan final acara 10m platform individu wanita di tempat kesembilan, sementara seorang lagi wakil negara Pandelela Rinong Pamg di kedudukan ke-11.

Turun dalam acara berbeza kali ini, Nur Dhabitah berdepan saingan sengit penerjun China, Kanada, Australia dan Great Britain, dalam aksi pusingan awal dan peringkat separuh akhir (Sabtu) bagi memburu slot di final.

Berdasarkan atas kertas, beliau ibarat perlu mendaki Gunung Fuji pada musim sejuk dalam usaha menaiki podium di Tokyo, namun anak bongsu daripada empat beradik itu sudah bersedia sepenuhnya.

“Saya telah berlatih sepanjang hidup saya untuk ini (Sukan Olimpik), sudah tentu saya tidak sabar untuk bertanding,” kata bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!