Anwar kemuka usul undi hilang percaya terhadap Muhyiddin

Anwar Ibrahim.
 - Foto Bernama
Anwar Ibrahim.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dewan Rakyat, pada Khamis.

Ia susulan pendedahan Istana Negara berhubung keputusan kerajaan melaksanakan pembatalan Ordinan Darurat yang membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya mewakili ahli-ahli Dewan Rakyat mengemukakan usul seperti berikut: Bahawa Dewan Rakyat mengambil ketetapan untuk hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dimakzulkan daripada Perdana Menteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.

Usul tersebut dikemukakan menerusi surat dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada hari sama.

Anwar juga menyifatkan penangguhan Dewan Rakyat yang diumumkan untuk tujuan saringan Covid-19 adalah tindakan sengaja melengah-lengahkan perbahasan.

“Saringan boleh dilakukan tapi tidak ada sebab mengapa (perbahasan) perlu ditangguhkan,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengusulkan kepada Speaker Dewan Rakyat supaya meletak jawatan secara terhormat dengan segera.

“Keengganan mereka mengadakan apa sahaja bentuk undian adalah kerana mereka tahu sudah hilang kepercayaan ahli-ahli parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang rakyat sudah tahu bahawa kelompok yang mempertahankan kuasa ini derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan takut dengan undi di parlimen kerana sudah nyata hilang majoriti,” katanya lagi.

Anwar juga memaklumkan, pihaknya akan memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bergantung kepada perkembangan senario politik negara dalam masa terdekat sekiranya diperlukan.