X

Kindly register in order to view this article
!

Menteri UMNO sokong PN perlu minta maaf secara terbuka: Nur Jazlan

Nur Jazlan
A
A

JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa menteri-menteri UMNO yang terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini segera memohon maaf kepada ahli parti dan rakyat.

Jelas beliau, permohonan maaf secara terbuka itu susulan kerajaan PN ‘kantoi’ menipu dalam Dewan Rakyat dan menderhaka terhadap titah Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dalam isu pembatalan Ordinan Darurat, Isnin lalu.

“Menteri-menteri UMNO termasuk juga ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyokong kerajaan PN dikira bersubahat menipu rakyat dan menderhaka kepada YDPA apabila mereka tidak menafikan atau berdiam diri sahaja apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan sudah membatalkan darurat pada 21 Julai lalu.

“Mereka ini sudah mengangkat sumpah memegang amanah dan menjunjung Perlembagaan ketika dilantik menjadi menteri serta ahli Parlimen tetapi mereka sanggup mengkhianatinya demi kuasa.

“Oleh itu mereka perlu minta maaf secara terbuka kepad ahli-ahli UMNO dan rakyat serta insaf dengan keterlanjuran itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Istana Negara dalam kenyataan di laman Facebook rasminya dilaporkan berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lalu tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai menegaskan menteri dan ahli Parlimen UMNO juga perlu menarik balik serta merta sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti mana diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini.

Beliau berkata, kepimpinan Muhyiddin jelas telah mencurangi amanah yang diberikan rakyat dan mempermain-mainkan Perlembagaan serta kemuliaan Dewan Rakyat akibat ketamakan kuasa.

“Mereka (menteri UMNO) perlu ikut keputusan MKT UMNO dan tarik segera sokongan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan PN. Mereka sepatutnya malu dan tebal muka kerana terus memberikan sokongan kepada sebuah kerajaan yang tidak telus dan tak amanah.

“Tidak pernah dalam sejarah UMNO menderhaka kepada raja-raja Melayu terutamanya YDPA dan menyeleweng Perlembagaan serta Parlimen untuk kekalkan kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan menjelaskan, apa yang dilakukan oleh menteri-menteri UMNO itu turut memberikan implikasi negatif kepada parti itu sendiri.

Katanya, biarpun secara majoriti MKT UMNO sudah menarik sokongan kepada Perdana Menteri, namun kedegilan menteri-menteri dan segelintir ahli Parlimen UMNO yang mahu terus bersama kerajaan PN turut mencemarkan nama baik parti.

“Sudah-sudahlah nak jadi degil dan nak ikut nafsu sendiri. Kembalilah ke pangkuan perjuangan asal dan bersama semula dengan kepimpinan UMNO.

“Tinggalkan Muhyiddin, Pas dan kerajaan PN yang sudah terbukti gagal, menyeleweng kuasa serta menderhaka kepada institusi raja,” katanya


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!