X

Kindly register in order to view this article
!

Perlu langkah radikal elak Covid-19 cecah 24,000 kes sehari

Asyraf Wajdi
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melaksanakan langkah radikal bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 dalam negara mencecah hingga 24,000 kes sehari menjelang September depan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan itu tidak boleh lagi bersifat ‘trial and error’ dan separuh masak seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, PKP 3.0 serta sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' yang bersifat ala kadar apabila rakyat dipaksa berkurung, sedangkan industri terus beroperasi.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menjangkakan kes Covid-19 di negara ini akan terus meningkat.

“Angka ini realistik memandangkan ketika ini pun kes sudah mencecah 17,000 sehari. Namun untuk turun sampai 1,000 sahaja pada Oktober, saya sedikit curiga,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Pada 16 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan Malaysia diramal akan mencapai tahap kemuncak penularan Covid-19 pada pertengahan September iaitu 24,000 kes positif sehari sebelum menurun kepada 1,000 kes sehari pada Oktober.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mempersoalkan kesediaan kerajaan bagi menghadapi angka 24,000 kes tersebut.

“Apakah kerajaan juga rela dan bersedia menerima angka kematian yang tentunya akan turut meningkat seiring dengan kes yang mencanak naik?

“Kita tidak boleh bertolak ansur lagi dengan angka kematian yang mencanak setiap hari.

“Pagi ini pun menerima berita kematian Ketua Pemuda UMNO Cawangan di Masjid Tanah, manakala isteri dan dua anak yang masih kecil turut positif Covid-19,” luah beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!