X

Kindly register in order to view this article
!

Hala tuju PTPTN untuk tempoh lima tahun

Wan Saiful melancarkan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 secara maya pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merangka lima teras utama Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 sebagai tunggak terpenting untuk mencapai hala tuju perbadanan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia juga selari dengan dasar dan aspirasi kerajaan bagi merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan mengambil kira Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang turut memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem pengajian tinggi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, lima teras utama pelan strategik itu antaranya ialah menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia serta memperkasakan pengurusan pinjaman pendidikan sebagai pengurus pinjaman pendidikan utama dan unggul.

“Selain itu menambah baik pengurusan kutipan bayaran balik pinjaman dengan lebih efektif, melaksanakan strategi pendanaan dan pelaburan yang mendatangkan pulangan optimum serta memperkasakan organisasi yang lebih dinamik dan cemerlang.

“Justeru, lima teras strategik ini menterjemahkan aspirasi PTPTN dalam memastikan dana pinjaman dan simpanan dapat diurus secara efektif, sekali gus membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang mendapat akses pendidikan berkualiti,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 yang berlangsung secara maya pada Khamis.

Ahmad Dasuki
Ahmad Dasuki

Turut serta ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Wan Saiful berkata, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 sangat penting sebagai garis panduan bagi mencapai visi dan misi PTPTN untuk menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi negara dalam menguruskan dana simpanan serta pinjaman secara efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pengubah suaian imej serta budaya menerusi penjenamaan menyeluruh.

Tambah beliau, PTPTN juga akan mempergiatkan aspek pengurusan data yang lebih sistematik melalui Rangka Kerja Artificial Intelligence (AI), malah meningkatkan keupayaan aplikasi dan perkakasan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan penggunaan teknologi terkini.

“Saya sangat optimis dengan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 akan membawa PTPTN ke satu fasa baharu ‘New PTPTN’ untuk sentiasa lebih dekat di hati masyarakat.

“Saya juga berharap pelan strategik ini dapat dijadikan sebagai garis panduan ke arah kecemerlangan imej PTPTN yang profesional dan berkualiti tinggi, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan serta kesediaan masyarakat untuk membuat bayaran balik dan membuat simpanan,” ujarnya.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1997 sehingga 31 Mei 2021, PTPTN telah membantu seramai 3.51 juta pelajar dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM63.82 bilion.

“Dari segi deposit SSPN, PTPTN telah mencatatkan penerimaan deposit yang sangat memberangsangkan iaitu berjumlah RM8.99 bilion dengan 4.98 juta akaun direkodkan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, sebagai pembiaya utama pinjaman pendidikan tinggi negara, PTPTN akan bertindak selari dengan hasrat kerajaan dalam menghasilkan graduan berkualiti.

“Saya yakin melalui strategi yang akan dilaksanakan dan kerjasama pelbagai pihak, PTPTN akan lebih cemerlang dan terserlah sebagai institusi penabungan serta pengurusan utama dana bagi tujuan pendidikan tinggi menjelang tahun 2025,” ujar beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!