Pembangkang minta sidang dilanjutkan hingga malam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangkang meminta sidang khas Parlimen pada Khamis dan Isnin depan dilanjutkan hingga ke waktu malam bagi memberi peluang kepada lebih ramai ahli Parlimen berbahas.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat boleh dikenakan bagi memastikan tidak berlaku penularan Covid-19 ketika persidangan termasuk mewajibkan ahli-ahli Parlimen memakai peralatan perlindungan diri (PPE).

"Bagilah peluang walaupun menteri dan ahli Parlimen terpaksa pakai PPE tiga lapis seperti 'frontliners' hospital.

"Kalau 'frontliners' boleh buat kerja dengan PPE apa salahnya ahli Parlimen guna PPE tiga lapis supaya kita boleh berbahas sampai malam," katanya pada sidang akhbar di sidang khas Dewan Rakyat pada Khamis.

Prabakaran berkata demikian ekoran kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Khamis bahawa beliau tiada kuasa untuk pelanjutan masa serta cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar masa persidangan itu dipendekkan susulan situasi semasa Covid-19 dalam negara.

Menurutnya, ujian calitan juga boleh diwajibkan kepada ahli Parlimen untuk dilakukan setiap hari.

"Rakyat di luar sana hari-hari mati sebab Covid, rakyat hari-hari derita. Takkan ahli Parlimen hari-hari nak buat ujian calitan pun tak boleh?" soalnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang berterusan menggunakan alasan Covid-19 untuk berselindung sejak setahun setengah yang lalu.

Artikel Berkaitan:

"Jangan berselindung di sebalik kenyataan DG (Ketua Pengarah Kesihatan)," gesanya.