Kediaman PM jadi tumpuan media

Sebuah kenderaan dipercayai membawa masuk seorang menteri dilihat masuk di kawasan kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara pada jam 1 petang hari ini. - Foto Bernama
Sebuah kenderaan dipercayai membawa masuk seorang menteri dilihat masuk di kawasan kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara pada jam 1 petang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan petugas media susulan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat hari ini.

Petugas media dilihat mula 'berkampung' di rumah Perdana Menteri yang terletak di Bukit Damansara, di sini sejak jam1 tengah hari tadi.

Pemerhatian Bernama mendapati beberapa kenderaan dipercayai membawa menteri dan Peguam Negara memasuki perkarangan kediaman Perdana Menteri pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Dalam kenyataan Istana Negara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

Walaupun sudah dua jam berlalu, namun belum ada perkembangan terbaharu diperoleh kumpulan petugas media.

Suasana semasa di situ tenang dan hanya kelihatan pergerakan beberapa kenderaan dipercayai membawa menteri masuk serta keluar daripada kediaman Perdana Menteri itu.

Beberapa kenderaan rasmi itu dilihat mula meninggalkan kawasan rumah perdana menteri kira-kira 3.40 petang. - Bernama

Artikel Berkaitan: