Dua kes varian Delta direkod di Terengganu

Penduduk Kampung Banggol Tok Jiring hadir bagi melakukan ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan di SMKA Dato' Haji Abbas hari ini. Foto Bernama
Penduduk Kampung Banggol Tok Jiring hadir bagi melakukan ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan di SMKA Dato' Haji Abbas hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai diminta lebih berwaspada susulan dua kes positif dikesan melibatkan varian Delta atau varian mutasi berganda dari India yang direkodkan di daerah Kuala Terengganu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, setakat ini pelaksanaan penjujukan genom atau ujian terhadap sampel lain diambil dalam kalangan pesakit sedang dilakukan bagi mengenalpasti varian terbabit.

"Setakat ini dua kes varian Delta dikesan melibatkan daerah Kuala Terengganu.

"Kita kita masih lagi menunggu keputusan 'genom test' bagi sampel lain yang dihantar ke Kuala Lumpur untuk menentukan jangkitan berpunca daripada varian apa. Kita harap sampel yang dihantar bukan daripada varian Delta," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mengulas lanjut, Alias menyifatkan perkembangan itu amat membimbangkan dan meminta orang ramai untuk lebih berdisiplin serta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dr Alias
Dr Alias

Artikel Berkaitan:

"Tahap kebolehjangkitan varian ini begitu singkat malah jangkitannya lebih mudah iaitu melalui udara berbanding jangkitan melalui titisan air liur.

"Sebelum ini jarak satu meter sudah cukup,untuk mengelak jangkitan Covid-19, namun bagi varian ini ia boleh berjangkit melalui udara," katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai perlu menjaga jarak sekurang-kurangnya tiga meter memandangkan virus itu boleh memasuki di mana sahaja bahagian muka, sama ada hidung, mulut atau mata walaupun mereka memakai pelitup muka.

"Sekiranya tiada urusan mustahak, terus kekal berada di rumah. Jika ada urusan penting pastikan sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi," katanya.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga Rabu, sebanyak 199 kes varian Delta direkodkan di seluruh negara termasuk 10 kes import.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam kenyataan rasmi di laman facebook memaklumkan sebanyak 490 kes positif baharu dikesan di Terengganu dengan 2,357 kes sedang dirawat dengan keseluruhan 107 kes kematian direkodkan sehingga Rabu.