Selangor lulus 6,219 permohonan rebat pengangkutan suntikan vaksin

Info grafik berkaitan data rebat pengangkutan grab ke PPV seluruh Selangor.
Info grafik berkaitan data rebat pengangkutan grab ke PPV seluruh Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor telah meluluskan sebanyak 6,219 permohonan rebat pengangkutan Grabcar kepada rakyat di negeri ini bagi mendapatkan suntikan vaksin di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini sehingga 25 Julai lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga kini sebanyak 8,704 permohonan telah diterima bagi mereka mendapatkan rebat pengangkutan RM20 (pergi dan balik).

Menurutnya, sebanyak 2,113 baucar rebat Grab bernilai RM20 setiap satu telah dimanfaatkan oleh rakyat di negeri ini.

"Rebat RM20 untuk Grab merupakan insentif galakan dan memudahkan vaksin Covid-19 diambil dalam Pakej Kita Selangor 2.0 menerusi peruntukan RM1 juta dengan kos semasa RM43,260," katanya yang memuat naik status di Facebook beliau pada Khamis.

Seramai 50,000 individu di negeri ini bakal menerima rebat pengangkutan bagi pengambilan vaksin terutamanya warga emas menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Dalam menjayakan agenda digitalisasi negeri ini, kerajaan Selangor melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menandatangani perjanjian kerjasama strategik bersama Grab Malaysia.

Kerjasama strategik itu bertujuan mewujudkan ekosistem untuk memudahkan rakyat Selangor memanfaatkan teknologi dan digitalisasi.

Melalui perjanjian kerjasama itu, Grab Malaysia akan terbabit secara langsung bagi menjayakan inisiatif-inisiatif di dalam agenda digitalisasi Selangor melalui perkhidmatan GrabExpress, GrabFood, GrabCar dan GrabPay.

Artikel Berkaitan: