X

Kindly register in order to view this article
!

Jualan kopi rezeki pandemik pemilik kedai gunting rambut


Abdullah Thariq tidak menyangka kemahiran membancuh kopi dimiliki sejak lebih setahun lalu kini menghasilkan pendapatan seterusnya membantu menampung perbelanjaan berikutan perniagaan kedai gunting rambutnya terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19. - Foto Bernama
A
A

TUMPAT - Hampir setiap hari pengguna Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor pasti dapat melihat flash mob di hadapan sebuah kedai gunting rambut yang terletak di Pasir Pekan, di sini namun mereka bukan mempromosi perkhidmatan itu sebaliknya perniagaan kopi yang mula diusahakan sejak Mei lepas.

Pemilik LOH Barbershop, Abdullah Thariq Abdullah, 26, tidak menyangka kemahiran membancuh kopi yang dimiliki sejak lebih setahun lepas, kini memberinya pendapatan seterusnya membantu menampung perbelanjaan berikutan perniagaan kedai gunting rambutnya terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19.

Bercakap kepada Bernama, Abdullah Thariq berkata, beliau bersama adik dan abangnya mengusahakan perniagaan kedai gunting rambut sejak 2018 dan memiliki tujuh cawangan kedai serta sebuah pusat latihan, namun akibat pandemik mereka terpaksa menutup dua daripada cawangan tersebut.

"Kedai tinggal lima sahaja termasuk sebuah pusat latihan, jumlah tukang gunting juga berkurang daripada sembilan orang kepada hanya tujuh sekarang, namun saya masih perlu kira-kira RM3,000 untuk bayaran sewa, bil elektrik dan air untuk kesemua premis itu. Saya cuba cari apa lagi yang boleh dilakukan dalam tempoh ini bagi membantu aliran tunai perniagaan.

"Saya peminat kopi dan sudah memiliki sebuah mesin membancuh minuman tersebut yang dibeli pada harga RM1,400 tahun lepas.

"Jadi saya ambil keputusan mulakan Loh COffee & Brew di hadapan premis gunting rambut di Pasir Pekan ini lagipun lokasi ini merupakan laluan utama dari arah Tumpat ke Kota Bharu," katanya.

Keputusan Abdullah Thariq nyata berbaloi, kemahiran membancuh kopi yang dipelajari daripada YouTube serta hasil pemerhatian ketika mengunjungi kafe kopi di sekitar Kota Bharu kini memberi pendapatan seterusnya membantu aliran tunai perniagaannya.

"Saya mulakan jualan kopi dua sesi, 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 4 petang hingga 9.30 malam. Loh COffee & Brew gunakan kopi Arabica second crack extra dark roast yang diperoleh daripada pembekal di Kota Bharu.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat baik, setiap hari saya mampu menjual kira-kira 30 hingga 40 cawan yang memberi pulangan RM200 hingga RM300 sehari. Berkenaan promosi selain flash mob, saya juga membuat hebahan menerusi laman sosial seperti Facebook.

“Jujurnya saya tak pernah sangka akan dapat sambutan. Saya hanya fikir nak buat aliran tunai perniagaan semata-mata tetapi alhamdulilah dapat sambutan,” kata anak jati Pasir Pekan itu.

Beliau berkata, usahawan perlu kreatif dalam menjana pendapatan lain apabila berdepan kesukaran terutamanya ketika negara dilanda pandemik Covid-19. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!