MAINS peruntuk RM1.6 juta untuk masjid, surau

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan lebih RM1.6 juta menerusi sumbangan tahunan MAINS untuk masjid dan surau di seluruh negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak 1,020 buah surau menerima RM500 setiap satu yang disalurkan melalui akaun masjid kariah masing-masing.

"Sebanyak 301 buah masjid pula menerima jumlah sumbangan yang berbeza mengikut kategori yang ditentukan, iaitu berdasarkan baki akhir tabung masjid yang telah diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS).

"Terdapat empat kategori iaitu baki akaun melebihi RM100,000 menerima sumbangan sebanyak RM2,000 melibatkan 48 masjid, baki akaun antara RM51,000 hingga RM99,000 terima sumbangan RM3,000 melibatkan 50 masjid, baki akaun antara RM21,000 hingga RM50,000 terima sumbangan RM5,000 melibatkan 108 masjid serta bawah RM20,000 menerima sumbangan berjumlah RM7,000 melibatkan 95 masjid," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar pengurusan Masjid Negeri Sembilan tahun 2021 secara dalam talian di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, semua masjid diminta lebih proaktif dalam usaha menjaga kebajikan anak kariah dengan menggunakan wang tabung masjid bagi tujuan tersebut dengan mewujudkan gerobok rezeki atau sumbangan lain di samping menyerlahkan lagi fungsi masjid pada pandangan masyarakat.

"Gerobok rezeki ini pula perlu diuruskan dengan baik agar mereka yang benar-benar memerlukan dapat manfaat daripadanya, jangan dibiarkan terbuka atau terdedah tanpa ada pengawasan.

"Pengawasan perlu untuk mengelakkan fitnah terhadap penerima serta pengurusan masjid sendiri. Hal ini juga boleh menjadi salah satu kaedah dakwah untuk mendekati masyarakat terutamanya golongan bukan Islam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, sebanyak 1,000 vaksin telah diberikan kepada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Daerah Seremban pada hujung Jun lepas oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah Seremban.

"Saya menyeru kepada semua agar memanfaatkan peluang untuk divaksin mengikut janji temu sama ada di 107 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Negeri Sembilan atau melalui program 'outreach' yang disusun di setiap daerah.

"Hal ini adalah sebagai ikhtiar untuk memutuskan rantaian Covid-19 serta dapat kita cadangkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid dengan segera apabila semua AJK dan pegawai masjid telah sempurna divaksinasi.

"Begitu juga kepada seluruh anak kariah perlu diperingatkan untuk mendapatkan vaksin agar kita berjaya mencapai sasaran 'herd immunity' (imuniti kelompok) demi kesejahteraan semua," katanya.