Kejayaan Aaron-Wooi Yik diharap suntik semangat Zii Jia

Zii Jia diharap dapat suntikan semangat hasil kejayaan Aaron-Wooi Yik. - Foto FB Majlis Sukan Negara
Zii Jia diharap dapat suntikan semangat hasil kejayaan Aaron-Wooi Yik. - Foto FB Majlis Sukan Negara
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap kejayaan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir acara badminton Sukan Olimpik Tokyo 2020 pagi tadi menyuntik semangat buat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjelang aksi berdepan, jaguh China, Chen Long, petang ini.

Menurut Reezal Merican, kejayaan Aaron-Wooi Yik menewaskan beregu nombor satu dunia dari Indonesia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon, 21-14, 21-17 itu dapat memberikan semangat kepada Zii Jia untuk berdepan Chen Long yang juga pemain ranking keenam dunia dan pemenang pingat emas bagi acara perseorangan lelaki di Olimpik Rio 2016.

“Diharapkan rakyat Malaysia dapat terus menyokong dan mendoakan kejayaan atlet-atlet kita yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo.

“Ini kerana mereka (atlet) sangat memerlukan sokongan kita semua sehingga ke saat akhir nanti,” katanya menerusi satu klip video pagi tadi.

Mengulas mengenai kejayaan Aaron-Wooi Yik pagi tadi, Reezal Merican berkata, ia satu kejayaan yang cukup membanggakan.

Malah katanya, kejayaan itu membuktikan atlet negara tetap bersemangat untuk meneruskan kibaran jalur gemilang di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 kali ini.

“Saya amat seronok dan gembira kerana Aaron dan Wooi Yik mempamerkan aksi yang luar biasa, kesungguhan, kegigihan, kurang melakukan kesilapan hingga berjaya menewaskan pasangan nombor satu dunia.

“Di atas kertas, memang peluang beregu negara agak sukar, terutamanya dengan rekod tujuh kali kekalahan sebelum ini tetapi di Sukan Olimpik apa-apa sahaja boleh berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Aaron-Wooi Yik turut membuktikan bahawa semangat juang mereka untuk memastikan kibaran jalur gemilang berterusan menerusi acara badminton,” katanya.

Sementara itu Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga Persiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut berharap agar rakyat negara kini terus memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan atlet-atlet negara pada temasya sukan berkenaan.

“Kita memang berbangga dengan apa yang ditunjukkan oleh pemain-pemain kita hari ini (badminton) yang telah tunjukkan satu permainan yagn sangat baik.

“Oleh itu, diharapkan rakyat negara ini terus memberikan sokongan hingga ke saat akhir nanti kerana atlet Malaysia memerlukan sokongan dan doa untuk ke peringakt seterusnya,” katanya.