X

Kindly register in order to view this article
!

70 peratus pelatih OKU di PPDK Pahang divaksin

Pelatih PPDK Tunas Sri Teruntum, Mohd Shahril Alias menerima suntikan vaksin Covid-19 pada program vaksinasi khas golongan istimewa.
A
A

KUANTAN - Sebanyak 70 peratus daripada 696 pelatih orang kurang upaya (OKU) di 11 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Pahang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, setakat ini hanya 117 pelatih membabitkan 61 lelaki dan 56 perempuan masih belum menerima vaksinasi yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Seramai 92 pelatih membabitkan masing-masing 46 lelaki dan perempuan mengambil keputusan tidak mahu menerima vaksinasi yang ditawarkan.

"Bagi PPDK yang mempunyai pelatih yang ramai, pegawai perubatan KKM berkunjung ke PPDK terbabit untuk memberi vaksinasi," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, PPDK daerah ini teramai mendapat vaksinasi membabitkan seramai 118 pelatih diikuti PPDK Raub (73), PPDK Rompin (62), PPDK Bentong (57) dan PPDK Bera (49).

Jelasnya, selain golongan OKU yang diberi keutamaan bagi mendapatkan vaksin Covid-19, turut mendapat perhatian ialah warga emas, gelandangan dan rentan.

Ditanya mengenai bantuan ketika berdepan situasi Covid-19, Zulkhairi berkata, sehingga Rabu pihaknya menerima sebanyak 394 aduan membabitkan bakul makanan (368), bantuan JKM (23) dan masing-masing satu kes kanak-kanak serta lain- lain.

Tambah beliau, Jerantut mencatat jumlah tertinggi aduan iaitu sebanyak 135 diikuti Pekan (87), Bera (52), Raub (36), Ibu Pejabat JKM Pahang (31), Maran (25), Rompin (22) dan enam di Temerloh.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 148 aduan berjaya diselesaikan dan 246 dalam tindakan pihaknya. Sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat melancarkan lagi bantuan yang diperlukan rakyat.

" Saya menyeru kepada masyarakat yang menghadapi apa juga masalah supaya menghubungi JKM di empat talian bilik gerakan iaiatu 09-565 0226, 09-565 0302, 09-565 0229 dan 09-565 0230," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!