28 anggota sindiket penipuan 'online' dicekup

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Stonor, Kuala Lumpur pada Rabu.
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Stonor, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 28 individu termasuk tujuh wanita disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian diberkas di tiga unit kondominium di Jalan Stonor, di sini pada Rabu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula jam 4 petang.

"Kita turut merampas 35 telefon bimbit pelbagai jenama, 15 unit komputer dan lapan komputer riba," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Nasri berkata, pada serbuan pertama, seramai 10 individu termasuk seorang wanita ditahan manakala tujuh lagi individu termasuk empat wanita ditahan dalam serbuan kedua.

"Dalam serbuan terakhir seramai 11 individu termasuk dua wanita ditahan. Siasatan lanjut mendapati empat daripada kesemua suspek yang ditahan merupakan warga China," katanya.

Nasri berkata, pihaknya percaya, sindiket ini beroperasi sejak dua minggu lalu dan anggaran sewa kondominium kira-kira RM10,000 sebulan.

"Suspek dipercayai memperoleh gaji sekitar RM2,000 sebulan. Siasatan menjurus kepada kesalahan penipuan 'money game' selain kesalahan jenayah perjudian," katanya.

Katanya, kesemua individu berusia antara 17 hingga 45 tahun itu ditahan untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(c) akta yang sama dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.