X

Kindly register in order to view this article
!

Enam elemen teras cabaran buat PTF

Hamidin
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM), menggariskan enam elemen teras bagi dibincangkan secara mendalam dan menyeluruh oleh Pasukan Petugas Khas Presiden (PTF) yang bersidang buat kali pertama, pada Rabu.

Enam elemen itu meliputi pasukan kebangsaan, pembangunan akar umbi dan remaja, pendidikan kejurulatihan dan prestasi tinggi, bola sepak wanita, futsal dan bola sepak pantai, selain pertandingan serta tadbir urus dan kelestarian kewangan.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memutuskan enam elemen berkenaan sebagai topik harus diberi tumpuan, bagi membantu badan induk sukan itu mencari jalan memperbaiki pencapaian di luar serta dalam padang.

Hamidin menjelaskan, persidangan pertama itu bertujuan memastikan anggota PTF memahami perkembangan terkini, serta usaha-usaha yang dilakukan FAM daripada segi pelaksanaan visi dan misi, tadbir urus, serta persiapan pasukan kebangsaan.

“Ahli PTF diberi sesi penerangan yang lengkap, bertujuan memastikan mereka faham peranan FAM sebagai badan induk bola sepak.

“Besarlah harapan saya andai semua ahli PTF mengemukakan dan membentang beberapa idea segar, yang boleh membantu meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan dan prestasi tadbir urus FAM,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu.

Beliau berkata, FAM turut mengambil kesempatan memberi penerangan mengenai struktur organisasi, DNA bola sepak Malaysia, serta peraturan yang mengawal statut FAM dan terma rujukan PTF.

Mesyuarat pertama PTF diadakan secara maya itu turut disertai sembilan anggota PTF yang dilantik pada Mei lalu, dalam kalangan peneraju korporat, syarikat berkaitan kerajaan, pengamal undang-undang, ahli akademik, penyokong bola sepak, media serta kerabat diraja.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Saaran Nadarajah dan Chris Raj, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Pengarah Teknikal FAM Datuk Ong Kim Swee. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!