Beri MFL lebih ruang rangka pelan pengurusan risiko lebih berkesan

Laporan Sukan Sinar baru-baru ini.
Laporan Sukan Sinar baru-baru ini.
A
A
A

PENGENDALI Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu diberikan lebih ruang untuk merangka pelan pengurusan risiko lebih menyeluruh dan berkesan dalam memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan beberapa perlawanan liga tempatan tersebut.

Malah menurut mantan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri, MFL pernah melalui pengalaman situasi sebegini pada musim lalu yang menyebabkan jadual Liga-M terpaksa dirombak semula menyaksikan dua pertandingan iaitu Piala FA dan Piala Malaysia terpaksa dibatalkan.

Namun jelas Mohamad Azlin, situasi pada ketika ini lebih kritikal dengan kehadiran varian baharu yang mudah menjangkiti, tidak hanya menjejaskan industri bola sepak negara, tetapi juga seluruh dunia.

“Secara peribadi, MFL perlu diberikan ruang untuk mengemukakan pelan pengurusan berisiko kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan yang paling efektif dalam mengekang penularan virus Covid-19 ini.

“MFL pernah melalui situasi sebegini pada musim lalu melibatkan pemain Kuching City dan Kelantan musim lalu, dan MFL berjaya menguruskannya dengan baik.

“Cuma kali ini MFL perlu melihat kepada pendekatan gelembung sukan yang lebih berkesan dalam menjaga keselamatan dan kebajikan pemain-pemain sesuai dengan situasi semasa Covid-19 pada masa kini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Ditanya sama ada pendekatan konsep karnival bersepadu dapat menyelamatkan saingan Liga-M daripada berakhir lebih awal, Mohamad Azlin berkata, konsep karnival seperti dilaksanakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam dua pertandingan seliaan badan induk bola sepak Asia itu - Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan saingan Liga Juara-Juara Asia 2022 merupakan antara alternatif terbaik dicontohi MFL.

“Untuk memastikan kalendar saingan Liga-M berakhir dengan sempurna dengan melibatkan teras utama - baki saingan Liga Super dan Liga Premier - MFL boleh menggunakan pendekatan digunapakai AFC sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Cumanya, kualiti permainan akan terjejas kerana setiap kelab Liga-M perlu mengharungi lebih kurang sembilan ke 10 perlawanan lagi dalam tempoh tertentu berbanding dua pertandingan seliaan AFC yang disertai skuad Harimau Malaya dan Johor Darul Ta'zim sebelum ini.

“Pada satu sudut lain, kelab mempunyai kekuatan dari segi pemain-pemain akan memperoleh kelebihan dalam mengharungi jadual padat perlawanan sebegini,” katanya.

Tambah Mohamad Azlin, MFL boleh menggunakan beberapa venue seperti di Perak, Johor, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu yang mempunyai dua stadium bagi mengelakkan perlawanan diadakan di Lembah Klang kawasan berprofil tinggi jangkitan.

“Sekiranya MFL menggunakan pendekatan karnival ia perlu bahagikan kepada tiga atau empat kumpulan dan perlawanan secara penggiliran untuk melengkapkan jadual.

“Jika pembahagian sebegini dilakukan, saya percaya kualiti padang tak begitu terjejas dan pemain-pemain juga tidak akan mudah mengalami kecederaan apabila mengharungi kepadatan jadual, pada masa sama tidak menghimpunkan terlalu banyak pasukan dalam sesuatu masa yang boleh mengundang kepada risiko jangkitan,” ujarnya.