MMA minta kelonggaran penguatkuasaan di klinik swasta

Dr Subramaniam
Dr Subramaniam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada Rabu memohon kerajaan memberikan sedikit kelonggaran dari segi penguatkuasaan kepada klinik perubatan swasta yang semakin banyak menerima lambakan pesakit dari fasiliti kerajaan.

Presiden MMA, Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, pihaknya yang turut memainkan peranan penting bagi memastikan rawatan dapat diberikan kepada rakyat ketika pandemik Covid-19, amat memahami kepentingan pematuhan prosedur operasi standard dalam sektor penjagaan kesihatan dan mempunyai garis panduan bagi pencegahan penyakit berjangkit.

“MMA telah dimaklumkan bahawa terdapat beberapa kes di mana pegawai penguatkuasa telah datang ke klinik di mana bilangan pesakit telah melebihi kemampuan tempat menunggu di klinik-klinik tersebut.

“Pihak berkuasa seharusnya memahami bahawa mereka yang hadir ke klinik swasta terdiri daripada mereka yang tidak sihat dan biasanya ditemani ahli keluarga. Sebilangan pesakit memerlukan rawatan segera dan adalah tidak wajar sekiranya doktor tidak memberikan perkhidmatan yang sewajarnya,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, lambakan di klinik perubatan swasta juga susulan perkhidmatan pemeriksaan Covid-19 kepada masyarakat selain kebanyakan klinik kini menjadi pusat pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Pihak doktor dan kakitangan akan sentiasa memantau bilangan pesakit yang dibenarkan di klinik namun adakalanya ia berada di luar jangkaan. Di sinilah timbang rasa daripada pihak berkuasa amat diperlukan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: