Sarawak tunai janji hantar bekalan oksigen bantu Indonesia

Masing menyerahkan bekalan oksigen kepada wakil kerajaan Indonesia, Jeneral Muhammad Nur Rahmad pada majlis penyerahan tangki oksigen daripada Sarawak kepada Privinsi Kalimantan Barat di ICQ Tebedu pada Rabu. - Foto Bernama
Masing menyerahkan bekalan oksigen kepada wakil kerajaan Indonesia, Jeneral Muhammad Nur Rahmad pada majlis penyerahan tangki oksigen daripada Sarawak kepada Privinsi Kalimantan Barat di ICQ Tebedu pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

TEBEDU - Atas dasar perikemanusiaan dan hubungan diplomatik yang erat, Sarawak pada Rabu menghantar tujuh kontena atau 105 tan bekalan oksigen cecair (LOX) ke Kalimantan Barat, Indonesia bagi kegunaan pesakit Covid-19 di wilayah itu.

Simbolik penyerahan dan penghantarannya disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing kepada Komander Tentera Nasional Indonesia Daerah Pengdam XII/Tanjungpura, Mejar Jeneral Muhammad Nur Rahmad yang mewakili Gabenor Kalimantan Barat H Sutarmidji Sh M Hum.

Bercakap kepada media Malaysia dan Indonesia selepas majlis di Pos Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, kira-kira 100 kilometer dari Kuching, Masing berkata, tiga kontena telah dihantar pada 23 dan 24 Julai lepas dan baki empat kontena dihantar pada Rabu.

Beliau berkata, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima sepucuk surat daripada Sutarmidji minggu lepas yang memohon Sarawak membekalkan oksigen kepada Kalimantan Barat bagi kegunaan pesakit Covid-19 di wilayah itu.

"Memandangkan kes Covid-19 di Indonesia berada pada tahap kritikal, Sarawak bersetuju menyalurkan bekalan oksigen ke Provinsi Kalimantan Barat. Ini dilakukan atas dasar perikemanusiaan dan memelihara hubungan diplomatik kedua-dua pihak," katanya.

Masing melihat dari dekat tangki bekalan oksigen yang diserahkan kepada wakil kerajaan Indonesia. - Foto Bernama
Masing melihat dari dekat tangki bekalan oksigen yang diserahkan kepada wakil kerajaan Indonesia. - Foto Bernama

Masing memberi jaminan Sarawak sendiri memiliki simpanan oksigen yang mencukupi untuk kegunaan pesakit di hospital dan ketika kecemasan.

Beliau berkata, bekalan oksigen itu diharap dapat membantu meringankan masalah yang dihadapi Kalimantan Barat sekali gus situasi Covid-19 dapat dibendung.

Artikel Berkaitan:

"Kita bangga dapat membantu jiran kita yang memerlukan tetapi pada masa sama, kita juga tidak mengabaikan keperluan dan keselamatan rakyat tempatan.

“Semua dijalankan secara komersial dengan kedua-dua kerajaan membantu dalam proses transaksi sahaja,” katanya.

Masing berkata, Syarikat Linde EOX Sdn Bhd yang beroperasi di Kuching bertanggungjawab menguruskan bekalan oksigen dengan pihak Perusahaan PT Matesu Abadi dan PT Sarana Pasik Nusantara dari Kalimantan Barat. - Bernama