X

Kindly register in order to view this article
!

Harimau Selatan mengaum di Petaling Jaya

Antara aksi menarik perlawanan JDT menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini. - Foto Johor Southern Tigers
A
A

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus unggul di persada Liga Super dan terus menjarakkan perbezaan mata, selepas menundukkan seteru utama Selangor FC 3-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

JDT yang kini mengumpul 36 mata, dibezakan enam mata dengan Terengganu FC yang tewas 2-0 kepada Melaka United di Stadium Hang Jebat pada hari sama.

Memulakan babak pertama sebaik wisel ditiup, anak didik Benjamin Mora dan Karsten Neitzel, saling mengatur gerak dan melakukan cubaan demi cubaan, bagi memecah kebuntuan gol.

Namun Harimau Selatan akhirnya berjaya mengukir senyuman, apabila hantaran silang Matthew Davies disudahi dengan tandukan kencang Bergson Da Silva, pada minit ke-45 berjaya mencipta gol sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan.

Bersambung babak kedua, skuad Gergasi Merah menyamakan kedudukan selepas sepakan percuma luar kotak penalti pemain import Switzerland Oliver Buff, ditanduk masuk pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun pada minit ke-62.

Namun kegembiraan Selangor FC tidak bertahan lama, apabila rembatan leret dari luar petak penalti Matthew Davies di minit ke-79, meletak JDT di hadapan, sebelum Mohamadou Sumareh menoktahkan kemenangan dengan menyumbat satu lagi gol dalam masa kecederaan.

Pada aksi UiTM FC menentang Penang FC di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pasukan tuan rumah, gagal memanfaatkan peluang selepas tewas 0-1 di tangan pasukan pelawat.

Sabah FC dan Sri Pahang FC pula terikat 2-2, dalam perlawanan yang berakhir penuh dramatik di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.

Sementara dalam aksi Liga Premier, pasukan Perak FC 2, tewas 0-4 kepada Kelantan United dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh, manakala Kelantan FC tewas 1-2 kepada PDRM FC, pada aksi berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang tadi. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!