Pembinaan Hospital Medan ATM diteruskan di Hospital Melaka

Sulaiman (dua dari kiri) ketika melancarkan Kempen 'Vax and Win' di Seri Negeri pada Rabu. - Foto Bernama
Sulaiman (dua dari kiri) ketika melancarkan Kempen 'Vax and Win' di Seri Negeri pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sebelum ini ditangguhkan pembinaannya di Hospital Jasin akan diteruskan di Hospital Melaka dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, hospital itu akan dibina di kawasan parkir berhadapan lobi utama Hospital Melaka dengan jumlah 100 katil bagi menempatkan pesakit Covid-19.

"Pembinaan hospital medan ATM penting dan satu keperluan kepada kerajaan negeri bagi menyokong fasiliti kesihatan negeri yang semakin kritikal ekoran peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.

"Setakat ini, kita menunggu semua fasiliti dan aset ATM dipindahkan dari Labuan, Sabah ke Melaka dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen 'Vax and Win' di Seri Negeri di sini pada Rabu.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di Dewan Rakyat memaklumkan hospital medan di Labuan telah ditutup dan akan dibuka di Melaka bagi menampung peningkatan kes.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata hospital medan itu akan menggunakan bekalan elektrik yang disalurkan dari Masjid Al-Azim bagi memastikan kelancaran perkhidmatan dan keselesaan kepada pesakit.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri bercadang membuka Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Hang Jebat namun pelbagai aspek perlu diteliti termasuk jumlah kakitangan kesihatan, sukarelawan dan kos terlebih dahulu sebelum keputusan berkenaan dilaksanakan.

Katanya sehingga 26 Julai lepas, sebanyak 271,152 penduduk Melaka atau 46.4 peratus telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 manakala 147,293 orang atau 25.2 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Artikel Berkaitan:

Sulaiman berkata sebanyak 106 pusat pemberian vaksin (PPV) telah dibuka setakat ini bagi melancarkan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri itu dengan sasaran suntikan sebanyak 14,660 dos sehari.

Beliau sebelum itu berkata, kempen 'Vax and Win' anjuran NCT Alliance Berhad menerusi aplikasi ION by NCT yang berlangsung selama lapan bulan bermula 1 Ogos depan bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya penduduk Melaka, mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menerusi kempen itu, warganegara berusia 18 tahun ke atas yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 berpeluang memiliki kediaman impian dan hadian bulanan menarik bernilai sehingga RM1 juta.

Katanya, pemenang cabutan bertuah bagi sejuta penyertaan pertama berpeluang memenangi rumah bernilai RM423,800 di Ion Forte Green City di Melaka manakala pemenang bagi penyertaan kedua juta berpeluang memenangi rumah bernilai RM570,000 di Grand Ion Majestic di Genting Highlands, Pahang. - Bernama