Culik anak saudara: Tiga tahun penjara, dua sebatan

Tertuduh diiringi polis sebaik keluar dari mahkamah
Tertuduh diiringi polis sebaik keluar dari mahkamah
A
A
A

KULIM - Seorang penganggur dihukum tiga tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Kulim selepas didapati bersalah menculik dan mencederakan anak saudaranya berusia tujuh tahun, hari ini.

Abd Rahim Osman,35, dijatuhkan hukuman itu selepas mengekal pengakuan bersalah sebaik dua pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Manomani Ramanathan

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menculik Wan Nur Ainul Darwisyah Amri dan mengurung mangsa di sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai Kulim kira-kira jam 6 petang pada 9 Februari lalu.

Abd Rahim didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada hari, lokasi dan tarikh yang sama didakwa kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa menggunakan pisau.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa bawah Seksyen 324 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, denda, atau sebat atau dua daripada mana-mana hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Alif Farhan Hassan sementara tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Manomani kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan bermula dari tarikh tangkapan pada 9 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di luar kamar mahkamah, DPP memberitahu, pihaknya bercadang mengemukakan rayuan terhadap hukuman dijatuhkan kepada tertuduh.

Sinar Harian pada 11 Februari melaporkan seorang kanak-kanak diculik bapa saudara dan dijadikan tebusan kira-kira lima jam dipercayai akibat ketagihan dadah.