'Influencer' marah warga emas dikompaun tak pakai pelitup muka

Rakaman seorang lelaki disyaki 'influencer' tidak memakai pelitup muka tular di media sosial.
Rakaman seorang lelaki disyaki 'influencer' tidak memakai pelitup muka tular di media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengeluarkan kompaun RM1,500 terhadap seorang lelaki dipercayai 'influencer' kerana tidak memakai pelitup muka serta memarahi seorang warga emas di pusat transit gelandangan di Jalan Pahang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, video berdurasi 49 saat itu itu tular di media sosial.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 11.30 pagi Selasa ketika individu itu menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘Ubah Hidup’ kepada 20 orang gelandangan.

"Polis memanggil individu itu ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberi keterangan berkaitan insiden itu.

"Polis mengeluarkan kompaun itu mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) Pelan Pemulihan Negara 2021,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal menasihati orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam memerangi wabak Covid-19.

"Kegagalan mematuhi SOP membolehkan tindakan diambil di bawah undang-undang dan peraturan yang masih berkuat kuasa," katanya.

Pada Selasa, tindakan seorang lelaki dipercayai ‘influencer’ dengan meninggikan suara kepada gelandangan warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur itu menimbulkan kemarahan orang ramai dan netizen.

Artikel Berkaitan:

Video berdurasi 49 saat itu memaparkan tindakan lelaki tersebut mempersoalkan kepada warga emas itu menyesal kerana tidak berusaha sewaktu muda sehingga dia menjadi gelandangan disifatkan sebagai biadab.