MP Sabah, Sarawak suarakan isu kaedah, kadar vaksinasi

Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak masing-masing tampil membangkitkan cadangan dan isu utama berkaitan kaedah pemberian vaksin serta kemajuan proses vaksinasi di kawasan masing-masing.
Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak masing-masing tampil membangkitkan cadangan dan isu utama berkaitan kaedah pemberian vaksin serta kemajuan proses vaksinasi di kawasan masing-masing.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbincangan mengenai progam vaksinasi negara di Dewan Rakyat pada Rabu turut menyaksikan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak masing-masing tampil membangkitkan cadangan dan isu utama berkaitan kaedah pemberian vaksin serta kemajuan proses vaksinasi di kawasan masing-masing.

Menyuarakan isu kadar vaksinasi rendah, khususnya di Sabah serta kaedah pemberian vaksin secara 'walk-in' atau jumpa terus dan kaedah ‘suntik dahulu daftar kemudian’, rata-rata ahli Parlimen dilihat melontarkan pandangan bernas demi memastikan semua rakyat termasuk di kawasan pedalaman tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula 24 Februari lepas itu.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menjadi Ahli Parlimen pertama dari negeri itu bersuara menyatakan jumlah pemberian vaksin di Sabah setakat ini agak rendah dengan kira-kira 30,000 dos sehari dan meminta ia dipertingkatkan.

“Saya minta kerajaan pastikan bulan-bulan seterusnya bekalan vaksin itu jangan dihentikan, tapi tambahkan, sebab Sabah ini unik ada rakyat tempatan, ada pekerja asing, ada pendatang tanpa izin ada macam-macam,” katanya pada sesi perbahasan selepas penerangan program vaksinasi daripada Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga membangkitkan semula keperluan untuk vaksin jenis dos tunggal diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman, berikutan kesukaran untuk sampai ke kawasan berkenaan dan mengurangkan risiko penduduk terlepas dos kedua vaksin.

Menurut laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, seramai 701,759 atau 18 peratus penduduk Sabah dan 1,678,014 atau 59.6 peratus penduduk Sarawak telah menerima dos pertama vaksin sehingga semalam.

Tampil membangkitkan hal sama, Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang menyatakan jumlah vaksin diterima negeri itu agak rendah sehingga mengakibatkan ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berada dalam keadaan ‘under utilise’ atau tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Mohd Aziz turut mempersoalkan kenapa kerajaan tidak menggunakan langkah sama yang dilakukan di Labuan dengan memberikan vaksin tanpa rakyat perlu menunggu janji temu melalui aplikasi MySejahtera, sedangkan ia terbukti meningkatkan kadar vaksinasi di wilayah itu yang sebelum ini berhadapan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

Artikel Berkaitan:

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) turut mencadangkan agar kaedah ‘suntik dulu daftar kemudian’ yang digunakan di Sarawak sehingga membolehkan negeri itu mencapai kadar vaksinasi yang tinggi, turut diguna pakai di Sabah memandangkan keadaan demografi serupa antara kedua-dua negeri dan cadangan itu disambut baik Datuk Darell Leiking (Warisan-Penampang).

Turut membangkitkan isu sama adalah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang menyatakan soal kadar pengagihan vaksin berbanding populasi yang tidak sekata di Sabah, yang mempunyai 3.9 juta penduduk berbanding negeri-negeri lain.

Bekas ketua menteri Sabah itu juga berkata, dengan demografi Sabah serta keluasan negeri yang besar serta masalah Internet, kaedah pemberian vaksin secara 'walk in' boleh dilaksanakan bagi mereka yang negatif Covid-19, manakala bagi yang didapati positif, vaksin boleh diberikan selepas mereka bebas jangkitan itu.

Dalam penggulungannya, Khairy mengulangi jaminan bahawa Sabah akan diberi keutamaan sebagai antara negeri terawal untuk menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila Malaysia menerima bekalan vaksin itu selepas ini. - Bernama