Maritim tahan bot pukat rawa sorong

Maritim Malaysia Perak mengesan sebuah bot pukat rawa sorong didapati melakukan aktiviti perikanan di zon larangan di Pantai Remis pada Rabu. - Foto Ihsan Maritim Perak
Maritim Malaysia Perak mengesan sebuah bot pukat rawa sorong didapati melakukan aktiviti perikanan di zon larangan di Pantai Remis pada Rabu. - Foto Ihsan Maritim Perak
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot pukat rawa sorong kerana melanggar syarat sah lesen ketika menjalankan aktiviti perikanan kira-kira 0.4 batu nautika dari Pulau Pasir Hitam di sini pada Rabu.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot nelayan tempatan itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika pasukan melakukan rondaan rutin Op Benteng Laut dan Op Pintas di sekitar perairan Pantai Remis kira-kira jam 11 pagi.

"Bot nelayan tempatan dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan dalam kawasan yang dilarang oleh syarat sah lesen iaitu kurang dari 3.0 batu nautika.

"Menyedari kehadiran bot penguat kuasa, kru bot tersebut bertindak meloloskan diri dengan cara terjun ke laut dan berenang ke hutan paya bakau berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai sedang melakukan aktiviti perikanan dengan menggunakan pukat rawa sorong.

"Bot tersebut dipercayai berpengkalan di Pantai Remis di sini disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 menangkap ikan di zon yang dilarang.

"Bot terbabit dibawa masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu, Setiawan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrizan berkata, sebanyak 200 set bubu naga telah dirampas di sekitar perairan Pulau Pasir Hitam pada Isnin lalu.

Artikel Berkaitan:

"Nilai keseluruhan bubu naga itu dianggarkan bernilai hampir RM24,000 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan," katanya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.