PPMM tubuh tiga jawatankuasa bantu rakyat Palestin

Zainul Rijal Abu Bakar
Zainul Rijal Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah menubuhkan tiga jawatankuasa mengenai isu Palestin dan jawatankuasa tersebut akan membuat kajian lanjut dalam skop tugasan mereka bagi mengetengahkan isu Palestin ke persada antarabangsa.

Jawatankuasa tersebut adalah Jawatankuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Jawatankuasa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) oleh Aidil Khalid dan Jawatankuasa Kajian Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Hak Asasi Manusia diketuai oleh Abdul Rahim Sinwan.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, PPMM akan memanggil ketiga-tiga jawatankuasa tersebut bagi memberi maklumat lanjut kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan badan lain bagi membawa keadilan kepada rakyat Palestin

“PPMM berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kesan kepada keadilan rakyat Palestin dan mendesak Kerajaan Malaysia agar terus membantu Palestin mencapai kebebasan daripada cengkaman Zionis Israel.

“PPMM juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa bagi mencapai solidariti dalam membela rakyat Palestin yang dizalimi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, pada 27 Julai lalu, katanya, PPMM telah menerima sepucuk surat balasan yang ditandatangani oleh Ketua Unit Informasi dan Keterangan Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Mark P Dillon.

“Mark berterima kasih atas surat yang diutus oleh PPMM bertarikh 11 Jun 2021 dan menjelaskan keputusan untuk memulakan siasatan diambil setelah mengumpulkan maklumat tambahan dan analisis menyeluruh bagi memastikan syarat-syarat ‘Rome Statute’ dipenuhi serta mendapat arahan spesifik dari kamar praperbicaraan berkaitan skop bidang kuasa.

“Maklumat yang diberikan oleh PPMM akan ditambah sebagai sebahagian daripada simpanan mereka dan akan disalurkan kepada pegawai mereka untuk kajian lanjut,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: