Ada pihak cuba putar belit isu protes doktor kontrak: Polis

Arjunaidi
Arjunaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor menegaskan tiada tindakan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam protes doktor kontrak di negeri ini pada Isnin selepas ada pihak yang cuba untuk memutar belit kejadian itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sebaliknya 17 orang doktor yang dipanggil adalah untuk membantu siasatan berkenaan kejadian pencerobohan di sebuah Pusat Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKCRB) pada Selasa.

“Saya sudah jelaskan tiada tindakan diambil terhadap doktor, tetapi isu ini masih timbul malah disebut hingga ke Parlimen.

“Siasatan yang dijalankan ini adalah berkenaan pencerobohan yang berlaku di PKRCB di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar dalam talian pada Rabu.

Menurutnya, pihak pengurusan PKRCB MAEPS membuat laporan sekitar jam 4 petang selepas enam petugas media didapati menceroboh masuk tanpa kebenaran malah ada yang memuat naik rakaman video secara langsung di media sosial.

Pada masa sama, menurut beliau, polis tidak pernah menghalang hak kebebasan bersuara mana-mana pihak tetapi harus sejajar dengan undang-undang negara.

Dalam pada itu Arjunaidi menjelaskan, pihaknya terpaksa merakam percakapan para doktor berkenaan secara bergilir-gilir sewaktu mereka bertugas supaya mereka dapat terus berehat selepas tamat waktu tugas masing-masing.

“Doktor ini bertugas dari jam 8 malam hingga 8 pagi, jika kita rakam percakapan selepas habis tugas di siang hari, sudah tentu mereka penat,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, semua yang terlibat sudah dikenal pasti dan akan dipanggil dengan segera serta kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan larangan.