Ciri bakal YB pilihan pengundi DUN Semenyih

No Image Caption
A
A
A

SEMENYIH - Individu yang memiliki sikap mesra rakyat, mudah didampingi dan turun padang mendengar denyut nadi rakyat antara kriteria utama calon yang dinilai pada PRK DUN Semenyih.

Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 6 Bandar Rinching, Wan Suhaimi Wan Alias berkata,rakyat juga mahu pemimpin yang bersikap proaktif.

"Jika pemimpin dahulu kurang mendekati masyarakat dan jarang turun padang berjumpa rakyat, saya mahu wakil rakyat yang akan dipilih ini dapat mempergiatkan perkara tersebut supaya jalinan kerjasama dengan rakyat bertambah erat," katanya.

Wan Suhaimi berkata, masyarakat juga berharap wakil rakyat yang dipilih itu dapat mendengar masalah penduduk tanpa mengira bangsa mahupun parti politik.

"Masyarakat di sini berharap pembinaan hospital dapat dilaksanakan di Semenyih, bagi menampung kepadatan penduduk yang semakin bertambah," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Bandar Rinching, Nizam Ramli, berkata, dia berharap wakil rakyat tersebut dapat memahami isu setempat.

"Rakyat berharap wakil rakyat itu dapat membawa suara rakyat ke sidang DUN untuk memperjuangkan isu rakyat.

"Selain itu, saya juga berharap wakil rakyat itu mudah mesra dan senang untuk berjumpa dengan rakyat khususnya di masjid dan majlis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isu utama di kawasan itu adalah kepadatan pelajar di sekolah sedia ada.

"Penduduk di sini berharap dapat membina sebuah sekolah bagi menampung projek pembangunan yang banyak di kawasan ini," katanya.