Program vaksinasi kepada remaja 12-17 tahun ditangguhkan

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan dahulu pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu diambil berdasarkan data dan pandangan penilaian calon vaksin.

Menurut beliau, ia susulan terdapat 40 kes per satu juta dos vaksin Pfizer yang diberikan kepada lelaki yang berumur 12 hingga 29 tahun di Amerika Syarikat (AS) mengalami kesan sampingan seperti radang jantung.

"Dalam hal ini, kumpulan kerja teknikal penilaian calon vaksin yang dipengerusikan Datuk Dr Kalaiarasu M Peariasamy telah memberi syor kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk tangguh dahulu pemberian vaksin kepada remaja antara 12 hingga 17 tahun.

"Ia juga selaras dengan keputusan yang dibuat di United Kingdom (UK) di mana mereka telah tangguh dahulu pemberian vaksin kepada remaja ini yang mana sebab diberikan adalah berdasarkan pelaporan kesan sampingan di AS.

"Sebab itu, buat masa ini apa yang telah diputuskan JKJAV adalah kita tidak memberi vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung sesi penerangan Program Vaksinasi sidang khas Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini memberi kelulusan pemberian vaksin Pfizer- BioNtech untuk remaja tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, nasihat daripada pakar juga turut diambil kira sebelum sesuatu ketetapan dibuat.

"Walaupun kesan sampingan yang dilaporkan itu tidak membabitkan kematian atau kes serius tetapi kita tidak tahu kesan jangka panjang kepada mereka yang mengalami radang jantung dan sebagainya," katanya.