'Bapa ayam', enam wanita disyaki GRO ditahan dalam Op Patuh

Enam wanita disyaki bekerja sebagai GRO ditahan dalam serbuan Imigresen di Ipoh. -Foto Ihsan Imigresen Perak.
Enam wanita disyaki bekerja sebagai GRO ditahan dalam serbuan Imigresen di Ipoh. -Foto Ihsan Imigresen Perak.
A
A
A

IPOH - Jabatan Imigresen Malaysia Perak menahan enam wanita warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan Op Patuh di sebuah hotel di Jalan Raja Ekram di sini pada Selasa.

Pengarah Imigresen Perak, Hapdzan Husaini berkata, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dipercayai 'bapa ayam' turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, wanita berusia 25 hingga 31 tahun itu terdiri dua warga Laos dan Thailand serta seorang dari China dan Vietnam.

"Ketika serbuan didapati pintu bilik hotel tersebut dalam keadaan berkunci dan pegawai operasi terpaksa memecahkan beberapa buah pintu bilik hotel selepas tidak dapat kerjasama daripada mereka.

"Pemeriksaan menemukan kondom dipercayai digunakan semasa melakukan aktiviti pelacuran di setiap bilik hotel," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Hapdzan berkata, siasatan lanjut mendapati mereka menjalankan perkhidmatan seks dengan bayaran antara RM250 hingga RM300 untuk 45 minit.

Jelasnya, enam wanita tersebut antara 16 individu yang ditahan dalam operasi yang dijalankan selama 18 jam bermula pada jam 8 pagi pada Selasa.

"Seramai 23 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Imigresen telah terlibat dalam operasi ini telah menyerbu sembilan premis kediaman, sebuah hotel, kedai runcit dan pemeriksaan di jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 65 orang telah diperiksa dan 16 orang telah ditahan melibatkan empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, dua lelaki Bangladesh, dua wanita Thailand, empat wanita Vietnam, dua wanita Laos dan seorang wanita warga China," katanya.

Kata Hapdzan, mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

"Mereka turut disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

"Lelaki tempatan terbabit disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa pas yang sah," katanya.