KSM, ILO bangunkan NAPFL tangani isu buruh paksa

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sedang membangunkan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025 bagi menangani isu buruh paksa dalam negara.

"Pelan tindakan ini dibangunkan secara menyeluruh serta mengambil kira situasi sebenar dalam negara," menurut KSM dalam satu kenyataan pada Rabu.

Draf dokumen NAPFL telah dimuat naik di https://www.mohr.gov.my/index.php/ms/ bagi mendapatkan pandangan dan komen daripada semua pihak berkepentingan termasuk orang awam dengan tarikh tutup bagi mengemukakan pandangan dan komen adalah pada 6 Ogos depan.

"NAPFL dijangka dilancarkan sebelum penghujung tahun ini dan ia boleh dijadikan sebagai panduan kepada semua pihak khususnya majikan bagi memastikan tiada elemen buruh paksa dalam rantaian perniagaan mereka," menurut kenyataan itu.

KSM memaklumkan pembangunan NAPFL telah melalui beberapa siri perbincangan sejak 2019 dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Menurut KSM, NAPFL akan menjadi pelengkap kepada Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP) yang dilancarkan oleh Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) pada 31 Mac lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: