MB Perak nafi dakwaan tak utamakan rakyat isu pembelian vaksin

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyelar kenyataan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung dakwaan tidak mengutamakan rakyat dalam isu pembelian vaksin.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembelian oleh Majuperak Holdings Bhd (MHB) yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu bukan untuk kegunaan individu, sebaliknya memenuhi permintaan sektor swasta yang sedia membayar untuk mempercepatkan proses vaksinasi kalangan mereka.

"Saya tidak faham maksud yang dikatakan tidak mengutamakan rakyat itu kerana pembelian vaksin oleh anak syarikat PKNP ini juga adalah program sokongan daripada program yang kita lakukan sebelum ini.

"Selain Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang disebutkan, kita juga terima permintaan daripada syarikat swasta khususnya kilang yang mahu vaksin diberikan cepat kepada kakitangan dan pekerja.

“Untuk menunggu giliran semua pekerja dan kakitangan syarikat terbabit selesai divaksinasi, mungkin lambat lagi. Jadi kerajaan negeri terima permintaan mereka dan mereka pun sedia membayar untuk vaksin terbabit," katanya.

Beliau berkata, pembelian menerusi Program Vaksin Perak (PVP) MHB yang dikenali sebagai 'Silver Vax' itu juga hanya dibuat selepas kerajaan membenarkan penjualan vaksin oleh Pharmaniaga kepada syarikat swasta dan negeri yang berminat.

Katanya, bagi individu, giliran vaksinasi masih mengikut janji temu ditetapkan melalui PPV seperti dilakukan sekarang.

“Program Silver Vax ini yang hanya khusus kepada syarikat, bukan secara individu. Jadi kepada syarikat yang ada duit dan hendak dapat (vaksin) cepat, bolehlah membayar, tiada paksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan pada Selasa, Farhash Wafa mempertikaikan tindakan kerajaan negeri melantik MHB mengetuai pembelian vaksin bagi PVP yang disifatkan hanya mencari ruang mengaut keuntungan dan tidak mengutamakan rakyat.