Kementerian Kewangan memudahcarakan peruntukan, perolehan PICK

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon, serta pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan hari ini menghadiri Mesyuarat Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Perolehan Vaksin Covid-19.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, Tengku Zafrul telah menjelaskan peranan MOF dalam menyediakan tatacara perolehan dan peruntukan bagi memudahcara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai objektif imunisasi lengkap bagi penduduk Malaysia menjelang Oktober 2021.

Antara langkah diambil ialah menurunkan kuasa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.

"Selain itu MOF juga meningkatkan peruntukan bagi perolehan vaksin dan PICK daripada RM3 billion (komitmen yang diumumkan pada hujung tahun 2020) kepada RM5.8 bilion seperti yang diumumkan melalui pakej PEMULIH pada Jun 2021.

"KKM dan MOSTI turut diberi kelonggaran untuk menguruskan perbelanjaan peruntukan berhubung pelaksanaan PICK tertakluk kepada siling peruntukan RM5.8 bilion yang diluluskan MOF," kata kementerian itu.

MOF juga memberi komitmen untuk terus memainkan peranannya menjayakan usaha PICK demi mencapai vaksinasi penuh penduduk dewasa dan selanjutnya membolehkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berfasa selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN). - Bernama

Artikel Berkaitan: