X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 50 peratus katil klinikal di PKRC Kelantan dihuni golongan muda

Kemasukan pesakit di PKRC di Kelantan meningkat sejak beberapa hari lepas selepas Hari Raya Aidiladha. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU - Lebih 50 peratus katil klinikal di dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) hibrid di negeri ini dihuni oleh pesakit golongan muda berusia antara 20 hingga 40 tahun dalam kategori tiga dan empat, kata Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir.

Beliau berkata, pada permulaan dua PKRC itu iaitu PKRC Gelanggang Seni dan Tanjung Chat diwujudkan sekitar Mei lepas, kebanyakan katil klinikal di situ dihuni oleh golongan berusia namun sejak sebulan lepas, lebih 50 peratus daripada 70 katil klinikal itu dihuni golongan muda pesakit kategori tiga dan empat.

“Berdasarkan pemerhatian pihak kami, situasi ini berkemungkinan disebabkan program vaksinasi dalam jumlah yang besar kepada golongan berusia dan warga emas di negeri ini sekali gus menunjukkan keberkesanan vaksin itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Unit Pengangkutan Covid-19 di pekarangan pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Kelantan di sini pada Rabu.

Dr Mohd Zurairien mengakui pihaknya mengalami kekurangan ambulans sehingga menjejaskan pergerakan membabitkan pesakit Covid-19. Beberapa ambulans di negeri ini juga telah dipinjamkan kepada negeri di Lembah Klang kerana keadaan di sana yang lebih memerlukan.

“Ambulans yang tinggal sekarang hanya tiga buah iaitu PBSM Kelantan dan St John Ambulans selain kita juga menerima bantuan ambulans daripada pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kemasukan pesakit di PKRC di negeri ini meningkat sejak beberapa hari lepas selepas Hari Raya Aidiladha.

"Berikutan itu sebanyak 11 PKRC di seluruh negeri itu telah mencapai kapasiti penggunaan katil antara 80 hingga 98 peratus.

“Secara keseluruhan sehingga kini terdapat sebanyak 2,300 katil di seluruh PKRC dan ada antara PKRC iaitu PKRC Pusat Tarbiah Islam Kelantan di Pengkalan Chepa dan juga PKRC Jubli Perak, Kota Bharu telah mencapai kapasiti penggunaan katil mencecah 98 peratus.

“Malah, pada Jumaat ini juga kita akan membuka semula PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan Salor selain kita juga sedang mengenal pasti satu lokasi baharu di luar daerah Kota Bharu untuk dijadikan PKRC,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!