Untung bersih Bursa Malaysia meningkat kepada RM88.97 juta

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd meningkat kepada RM88.97 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2021 daripada RM86.23 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan juga melonjak kepada RM196.10 juta daripada RM179.78 juta bagi tempoh yang sama, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

Bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun, 2021 keuntungan bersihnya meningkat 39.4 peratus kepada RM210.36 juta daripada RM150.96 juta yang direkodkan pada tempoh sama 2020.

Ia menjelaskan prestasi itu didorong oleh perolehan operasi lebih tinggi yang meningkat 31.0 peratus kepada RM420.2 juta daripada RM320.7 juta.

“Sementara itu, jumlah perbelanjaan operasi pada separuh pertama 2021 naik 14.9 peratus kepada RM146.1 juta daripada RM127.1 juta pada separuh pertama 2020, khususnya disebabkan kos kakitangan dan perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat yang bertambah,” jelasnya.

Mengulas mengenai prestasi kewangan tersebut, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Bursa Malaysia mencatatkan prestasi kewangan separuh tahun yang tertinggi buat kali pertama sejak penyenaraiannya pada 2005.

“Pulangan ekuiti dan pendapatan sesaham saham tahunan masing-masing sebanyak 48 peratus dan 26 sen telah membolehkan lembaga pengarah mengumumkan dividen interim 24 sen sesaham.

“Ketidaktentuan dalam pasaran sekuriti dan persekitaran kadar faedah rendah yang berlanjutan dijangka terus menarik pelaburan dan dagangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, Bursa Malaysia memperkukuh kemampuan pasaran Islam dan penyelesaian kemampanan dengan memperkenalkan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah baru-baru ini.

“Indeks bertemakan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus baharu patuh syariah ini akan membantu pengurus dana dalam membangunkan produk pelaburan baharu dengan portfolio ekuiti patuh syariah berpandukan prinsip pelaburan lestari,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Muhamad Umar Swift memberitahu, aktiviti dagangan oleh pelabur runcit kekal kukuh, menyumbang secara ketara kepada prestasi pasaran sekuriti, walaupun persekitaran global tidak menentu ekoran pandemik Covid-19.

“Bagi menambah baik kualiti aktiviti dalam pasaran kita, kami terus mengutamakan pendidikan kewangan untuk mengekalkan minat pasaran.

“Dalam melangkah maju, Bursa Malaysia akan terus mempertingkatkan platformnya untuk menyokong komuniti pelaburan dalam mengembangkan kekayaan mereka dan menguruskan risiko terhadap ketidaktentuan,” katanya.

Baru-baru ini kata Muhamad Umar, pihaknya melancarkan perkhidmatan langganan eRights untuk memberi kemudahan kepada pelabur runcit, menawarkan penjimatan kos dan masa yang signifikan, sebagai lanjutan kepada penambahbaikan perkhidmatan yang disediakan di bawah aplikasi mudah alih Bursa Anywhere.

“Dalam beberapa bulan akan datang, Bursa Malaysia akan memperkenalkan sesi dagangan selepas pasaran ditutup (T+1) bagi pasaran derivatif (Dagangan Malam), yang akan menawarkan kebolehcapaian lebih luas dan meningkatkan daya tarikan pasaran derivatif Malaysia untuk peserta global,” katanya. - Bernama