X

Kindly register in order to view this article
!

Ketua Menteri P Pinang negatif Covid-19, tamat kuarantin hari ini

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow disahkan negatif Covid-19 berdasarkan keputusan ujian saringan yang dijalankan pada Rabu.

Kon Yeow menjalani kuarantin diri di rumah sejak Ahad selepas seorang pegawai pengiring beliau disahkan positif Covid-19.

Beliau kemudian menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Jalan Perak di sini pada pagi Rabu.

"Saya telah menerima berita baik bahawa keputusan ujian adalah negatif.

"Atas arahan dan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), saya boleh menamatkan tempoh kuarantin pada hari ini juga," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Jumaat, Kon Yeow turut menjalani ujian saringan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang menunjukkan keputusan negatif.

Beliau bagaimanapun melakukan kuarantin diri di rumah atas arahan dan saranan JKNPP.

Sementara itu, Kon Yeow meminta semua pihak berganding bahu bekerjasama dan menyuntik sokongan kepada barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19.

"Pandemik Covid-19 membawa impak begitu besar. Kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan kita semua terlindung daripada semua ancaman.

"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) termasuk di Pulau Pinang masih berjalan dengan mencatatkan kemajuan yang baik.

"Kita yakin setiap orang yang mendaftar di negeri ini akan menerima suntikan dos vaksin pertama selewat-lewatnya pada awal September dan lengkap dos kedua pada Oktober," kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: KM Pulau Pinang kuarantin di rumah, pegawai positif Covid-19


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!