X

Kindly register in order to view this article
!

Tindakan ahli Parlimen ejek PM cerminkan kejahilan: Presiden Pas

Muhyiddin - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mengejek kenyataan Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak sempurna, mencerminkan sikap mereka yang jahil.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perbuatan sedemikian adalah hasil pemisahan politik daripada agama sehingga menjadikan mereka tidak berakhlak sehingga melupakan bahawa tiada yang sempurna melainkan ALLAH.

"ALLAH SWT memberikan kurniaan menjadi kerajaan kepada golongan yang beriman dan tidak beriman, bagi menguji mereka dalam kehidupan dunia ini.

"Seseorang yang beriman hendaklah menunjukkan sifat tawaduk secara terbuka dan menunjukkan moral yang tinggi menjadi hamba ALLAH SWT," katanya menerusi satu tulisan Minda Presiden PAS di Facebook beliau pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pandemik Covid-19 adalah ujian kepada manusia yang mana tidak ada kuasa besar atau kecil dapat menghalangnya dan hanya 'kerajaan ALLAH SWT Yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna' boleh menghapuskan virus itu.

"Kedatangan wabak Covid-19 adalah suatu ujian ALLAH SWT kepada seluruh dunia yang tiada mana-mana kuasa besar dan kuasa kecil yang dapat menghalangnya, namun begitu, manusia diuji dengan keinsafan.

"Ilmu dan akal diwajibkan untuk terus merancang, berusaha dan berikhtiar bagi menghadapi ujian wabak dan segala kesan sampingannya.

"Wabak yang mencipta sejarah dunia ini memberikan kesan sampingan yang menyeluruh kepada manusia, sama ada secara individu, keluarga dan masyarakat sehingga ke peringkat dunia yang luas. Malah, ia juga melibatkan urusan agama, politik, ekonomi dan lain-lain," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, situasi wabak Covid-19 yang dihadapi kini memerlukan kerjasama sejagat yang holistik laksana berada di dalam satu bahtera yang sedang menghadapi taufan yang besar.

Pada Isnin, Muhyiddin mengakui, kerajaan sedia ada bukan kerajaan yang sempurna.

Beliau berkata demikian sewaktu menerangkan tentang Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang bermula pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, kerajaan pimpinannya tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!