Sidang DUN Kedah bermula 20 September

Muhammad Sanusi mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu.
Muhammad Sanusi mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenankan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 diadakan bermula 20 hingga 23 September 2021.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penetapan tarikh Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Persidangan DUN Kedah itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada Rabu.

"Sultan Sallehuddin telah memberi perkenan kepada kerajaan negeri untuk persidangan diadakan pada tarikh-tarikh itu selain menyatakan perkenan baginda untuk menyampaikan titah perasmian secara dalam talian dari Istana Anak Bukit," katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat itu pada Rabu.

Pada 17 Julai lepas, Muhammad Sanusi memaklumkan sidang DUN Kedah secara bersemuka dijadualkan akan diadakan pada minggu kedua September depan selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Menurut beliau, pihaknya menerima taklimat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri pada Rabu lepas dan notis sidang DUN hanya boleh dikeluarkan selepas Proklamasi Darurat tamat pada 1 Ogos.

Persidangan DUN Kedah diadakan kali terakhir pada 15 hingga 19 November 2020 ketika Muhammad Sanusi membentangkan Belanjawan Kedah 2021 mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada Jun lepas, Pakatan Harapan (PH) Kedah dilaporkan menggesa Muhammad Sanusi menghadap Sultan Kedah pada kadar segera bagi memohon perkenan pembukaan semula persidangan DUN.

Dalam kenyataan bersama Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew, perkara tersebut selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja Melayu bahawa persidangan Parlimen dan DUN perlu diadakan secepat mungkin, selain menamatkan darurat serta menyegerakan vaksinasi kepada rakyat.

Artikel Berkaitan: