Perbicaraan Najib kes dana SRC RM27 juta tangguh

Najib Razak. Foto Fail
Najib Razak. Foto Fail
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan bagi kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM27 juta yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon penangguhan sehingga keputusan rayuan terhadap kes SRC RM42 juta di Mahkamah Rayuan, selesai.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, penangguhan tersebut dibuat kerana keputusan kes SRC membabitkan RM42 juta di Mahkamah Rayuan masih belum diketahui.

“Kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 2 hingga 9 Ogos ini, namun kes rayuan SRC RM42 juta di Mahkamah Rayuan belum diketahui.

“Maka, kami memohon penangguhan perbicaraan sehingga keputusan kes (SRC dana RM42 juta) didengar di Mahkamah Persekutuan,” katanya ketika ditemui di lobi mahkamah selepas prosiding pada Rabu.

Prosiding pengurusan kes berlangsung dalam kamar Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, pada Rabu.

Selain itu beliau berkata, penangguhan juga perlu kerana bukti-bukti yang digunakan antaranya jejak wang berhubung kait kes SRC terdahulu.

Katanya, Hakim Mohamed Zaini mengarahkan kedua-dua pihak menulis surat kepada mahkamah pada Rabu, berhubung permohonan penangguhan perbicaraan itu.

Tambah beliau, pihaknya juga menulis surat supaya tarikh perbicaraan pada Mac dan April 2022 dilapangkan.

Artikel Berkaitan:

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang mana beliau didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Beliau sebelum itu didakwa di Mahkamah Sesyen namun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019 susulan permohonan pihak pendakwaan.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Mei untuk pendengaran kes tersebut.