Libatkan pihak berkuasa kawal kewangan ahli politik

Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan badan audit perlu dilibatkan dalam mengawal aliran masuk dan keluar wang setiap ahli politik.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, perkara tersebut pernah dicadangkan untuk dijadikan akta, namun sehingga kini masih menunggu keputusan.

Menurutnya, ahli politik dalam setiap parti perlu memainkan peranan dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan kerajaan dengan tidak menyalahgunakan dana yang diberikan.

“Kena melibatkan pelbagai pihak untuk mengawal setiap ahli politik. Seperti yang kita tahu, setiap ahli politik perlu menghantar laporan kepada RoS dan menyatakan akaunnya. Tetapi, akaun ini tidak boleh diakses daripada luar.

“Ini sebabnya, walaupun undang-undang telah dikuatkuasakan, namun masih lagi tidak dipraktikkan dalam perjalanan parti politik.

“Kita tidak boleh menimbulkan polemik berkaitan kemewahan pemimpin-pemimpin ini. Kita kena ada satu iltizam politik dengan mendahulukan rakyat,” katanya dalam program Wacana Sinar edisi ke-276 bertajuk 'Dana Politik: Kenapa Perlu Rahsia' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamuddin dan penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian; manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Mengulas lanjut, Razlan berkata, keikhlasan dan keazaman dalam mendahulukan perihal rakyat perlu diterapkan dalam diri setiap ahli politik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, politik seharusnya ditetapkan semula bagi mencegah perbuatan mengambil duit dan melakukan rasuah.

“Cara ini perlu dihentikan. Badan kawal selia sepatutnya campur tangan. Di dalam Akta Dana Politik juga, SPRM tidak dilibatkan. Jadi, bagaimana mahu mengawal dana ini?

“Kita kena ‘reset’ politik sebenarnya. Kita perlu ada satu pembaharuan pemikiran di dalam ahli Parlimen dan pemimpin. Mereka kena ikhlas buat sesuatu,” ujarnya.

Tambah beliau, Akta Lompat Parti juga perlu digubal kerana dikatakan terdapat unsur rasuah ketika seseorang wakil rakyat itu melompat parti.

“Hari ini mereka membeli dan menjual dengan ugutan, duit dan jawatan. Pelbagai perkara mereka buat dan ini rasuah terang-terangan," kata beliau.