Jangan suburkan politik wang untuk beli undi: Khalid Samad

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya politik wang yang sering digunakan pemimpin parti untuk membeli undi bagi mendapatkan jawatan tidak lagi wajar dibenarkan atau disuburkan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, budaya yang lebih bersih perlu diwujudkan bagi memastikan kepimpinan dipilih bukan hasil daripada kegiatan haram berkenaan.

Menurutnya, ahli parti juga perlu mendidik diri mereka supaya tidak terpengaruh untuk menerima wang itu daripada pemimpin atasan.

“Politik wang digunakan untuk membeli sokongan, ia memang tidak menghairankan. Ketua bahagian mendapat sokongan daripada ketua cawangan dan sebagainya melalui duit.

“Hanya menggunakan duit untuk membeli sokongan apabila dia bertanding untuk jawatan yang lebih tinggi. Sama ada di peringkat nasional, majlis tertinggi dan sebagainya.

“Parti yang mengamalkan budaya ini memang memerlukan banyak duit. Perkara ini yang membuatkan keadaan politik di negara rosak,” katanya dalam program Wacana Sinar Edisi ke-276 yang bertajuk 'Dana Politik: Kenapa Perlu Rahsia' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafli; Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamuddin dan penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian; manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Sementara itu, Khalid berkata, Malaysia perlu mengambil contoh negara-negara maju yang menyediakan peruntukan khas bagi semua parti politik.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, setiap parti politik memerlukan dana tersendiri bagi memastikan aktiviti bersama ahli atau rakyat dapat dijalankan dengan sebaiknya.

“Mereka (negara maju) memberikan dana berdasarkan beberapa ukuran seperti keahlian, jumlah ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau sebagainya.

“Oleh kerana ia merupakan duit awam dan duit negara, maka perlu ada tanggungjawab dengan mempunyai laporan dan sebagainya.

"Ini yang dilakukan kepada beberapa negara maju. Mereka ada peruntukan khas kepada parti politik untuk menjalankan kegiatan mengikut undang-undang,” ujar beliau.