Ibu Yati, 2 individu mengaku tak bersalah isu doktrin palsu agama Islam

Wan Norhayati atau lebih dikenali Ibu Yati hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Rabu. - Foto Bernama
Wan Norhayati atau lebih dikenali Ibu Yati hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang bekas wartawan dan dua individu lain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu, atas pertuduhan menjelaskan doktrin palsu dan mempersendakan ayat al-Quran, antara Disember tahun lalu hingga Februari tahun ini.

Wan Noor Hayati Wan Alias, 42, yang dikenali sebagai Ibu Yati membuat pengakuan itu bersama dua lagi individu iaitu Noorafiza Ahmad, 46, dan Professor Madya Abdul Hamid Yeop Zainnuddin, 60.

Mereka membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee @ Shaii.

Wan Noor Hayati dan Noorafiza masing-masing menghadapi tiga dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 iaitu menjelaskan doktrin yang bertentangan dengan hukum syarak.

Sementara Abdul Hamid pula berdepan dua pertuduhan di bawah seksyen sama serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 kerana mempersendakan ayat al-Quran.

Di bawah Seksyen 7 Enakmen tersebut, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda RM5,000 atau enam sebatan atau kombinasi kesemua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen sama, ia memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wan Noor Hayati dan Noorafiza didakwa melakukan kesemua kesalahan itu pada 2 Disember 2020 hingga 2 Februari selepas menggunakan akaun Facebook masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid pula didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 malam, 2 Februari lalu di Taman Dato Razali, Kampung Melayu Ampang, di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassim manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam, Wan Amir Akram Zainal Abidin.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing dengan dua penjamin iaitu Wan Noor Hayati sebanyak RM11,000; Noorafiza pula RM5,000 dan Abdul Hamid RM9,000.

Kesemua tertuduh juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat dan dilarang untuk memuat naik apa-apa status dalam media sosial.

Mahkamah menetapkan 2 November ini untuk sebutan kes bagi Wan Noor Hayati dan Noorafiza manakala Abdul Hamid pada 18 Januari 2022.

Pada 2 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, polis membuka kertas siasatan terhadap pengguna akaun Facebook, Ibu Yati yang dikaitkan dengan fahaman Islam Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan terhadap Ibu Yati

JAIS siasat ajaran Islam Melayu: Zulkifli