X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalan vaksin belum cukup, rakyat Perak kena sabar tunggu giliran

Saarani pada sidang akhbar secara maya menerusi aplikasi Zoom Meeting di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad meminta rakyat negeri ini yang belum menerima janji temu untuk divaksinasi agar bersabar menunggu giliran.

Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini sedang berusaha memastikan dos vaksin Covid-19 mencukupi bagi melaksanakan inisiatif berkenaan memandangkan bekalan pelalian itu belum diterima sepenuhnya.

Menurut Saarani, bekalan vaksin untuk negeri ini yang dijadualkan pada Julai adalah sebanyak 688,760 dos dan setakat Isnin lepas baharu menerima 438,191 dos, manakala baki 250,569 lagi dijangka diterima pada akhir minggu ini.

"Sebelum kita panggil orang (bagi tujuan suntikan), kita kena pastikan bekalan vaksin itu ada dan mencukupi. Jika panggil tetapi tidak ada vaksin, sudahnya kita kena maki.

"Jadi ia bergantung kepada bekalan vaksin itu sendiri, ada vaksin baru kita boleh jemput orang, dalam hal ini orang ramai kenalah bersabar tunggu giliran mereka dipanggil," katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom Meeting di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Saarani berkata, pihaknya mengambil maklum akan keresahan rakyat negeri ini apabila ramai yang tertanya-tanya mengenai temu janji mereka biarpun sudah berdaftar sejak Februari lalu.

"Kalau ikutkan, saya mahu lebih banyak bekalan vaksin sampai ke Perak sebab kita nak percepatkan pemberian vaksin kepada lebih 80 peratus rakyat.

"Lagi cepat kita vaksin orang, kita akan rasa lebih selamat," katanya.

Beliau berkata, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada Februari lepas, Perak telah menerima sejumlah 1,191,789 dos vaksin dari jenis Pfizer, Sinovac dan Astrazeneca.

Katanya, bekalan itu membolehkan 683,332 orang iaitu 36.69 peratus daripada populasi penduduk 18 tahun ke atas diberikan dos pertama vaksin, manakala 378,851 iaitu 20.34 peratus lengkap menerima dua dos vaksin.

"Perak menyasarkan capaian nilai ambang 40 peratus suntikan pada penghujung Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September ini.

"Bagaimanapun, unjuran ini adalah tertakluk kepada bekalan vaksin yang akan diterima bagi Ogos dan September," katanya.

PICK di Perak kini beroperasi di 22 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam, 89 PPV Pengamal Perubatan (PPVGP), 13 PPV Hospital Swasta (PPVHS), 7 PPV Khas (sPPV), 11 PPV Bergerak dan enam PPV Industri (PPVIN) dengan kapasiti maksimum harian suntikan berjumlah 35,000.

Perak menyasarkan 80 peratus daripada 1,862,600 penduduk negeri berusia 18 tahun dan ke atas iaitu berjumlah 1,490,080 bagi tujuan mencapai imuniti kelompok.

Sehingga 26 Julai 2021, seramai 1,450,358 (77.9 peratus) telah mendaftar sebagai penerima imunisasi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!