Pekebun durian tak mengaku salah ceroboh hutan simpan

Kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibawa keluar dari Mahkamah Raub pada Raub diiringi anggota penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
Kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibawa keluar dari Mahkamah Raub pada Raub diiringi anggota penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
A
A
A

RAUB - Dua pekebun durian antara lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub pada Rabu atas pertuduhan menceroboh hutan simpan kekal (HSK) tanpa permit pada 3 dan 8 Julai lalu.

Tertuduh iaitu Chiah Kin Seng, 54; Wong Than Fook,49 masing-masing pekebun durian dan Lavin Chiah Zhe Yueng,21, manakala dua warga Indonesia, Kanir, 32 dan Shah Ronny Rusly, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Ahmad Faizadh Yahaya selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, empat tertuduh iaitu Kin Seng, Zhe Yueng, Kanir dan Shah Ronny didakwa telah didapati memasuki hutan simpanan kekal iaitu hutan tertutup tanpa sebarang permit masuk yang sah di dalam Kompartmen 175 di Hutan Simpan Batu Talam, Mukim Tras di Raub, kira-kira jam 10.36 pagi, pada 3 Julai lalu

Seorang lagi tertuduh iaitu Than Fook, didakwa telah didapati memasuki hutan simpanan kekal iaitu hutan tertutup tanpa sebarang permit masuk yang sah di dalam Kompartmen 17 di Hutan Simpan Batu Talam, Mukim Tras di Raub kira-kira jam 10 pagi, pada 8 Julai lalu

Pertuduhan mengikut Seksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 dan boleh dihukum di bawah seksyen 47 (4) enakmen sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Afidatul Azwa Kamarulanuar.

Afidatul menawarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 terhadap Kin Seng dan anaknya, Zhe Yueng dengan seorang penjamin manakala Than Fook ditawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Kanir dan Shah Ronny tidak ditawarkan jaminan.

Ahmad Faizadh membenarkan Kin Seng dan Than Fook masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin manakala RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap Zhe Yuen.

Artikel Berkaitan:

Dua lagi tertuduh iaitu Kanir dan Shah Ronny dibenarkan diikat jamin RM3,000 setiap seorang bersama penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 15 September dan kesemua tertuduh dibebaskan selepas membayar ikat jamin.

Empat tertuduh diwakili peguam Samantha Chong Yin Xin manakala Than Fook diwakili peguam, Chong Kar Yan.